Biarpun berdepan kemelut rumah tangga, Diana Danielle terus mempelbagaikan rentak seni dengan menerbitkan lagu raya berjudul Senandung Raya.
Pertama kali merakamkan lagu raya secara solo, Diana yang pernah menghasilkan single bahasa Inggeris, mengaku janggal mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu.
Biarpun membesar dengan mendengarkan lagu Melayu, Diana yang menjadi tumpuan ramai sejak memfailkan perceraian terhadap suami, Farid Kamil, lebih selesa mendendangkan lagu Inggeris.
“Saya mengaku kepada komposer lagu Senandung Raya, Amyela bahawa saya tidak yakin menyanyikan lagu Melayu. Namun, dia sangat membantu dan memberi sokongan ketika proses rakaman.
“Amylea turut memberi tip bagaimana hendak meningkatkan nyanyian dalam bahasa Melayu.

“Saya membesar dan mendengar banyak lagu Melayu. Tetapi saya tidak pernah menyanyikannya. Jadi, ini sangat sukar untuk saya di studio rakaman,” katanya.
Selain menyanyi dalam bahasa Melayu, proses menyiapkan video muzik pada saat-saat akhir juga menjadi cabaran buat penyanyi berusia 31 tahun itu.
Namun, Diana memberi komitmen bagi memastikan perancangan lancar.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mendapat peluang merakamkan lagu raya secara solo.
Jadi, saya mahu segera siapkan lagu dan muzik video Senandung Raya supaya dapat dilancarkan tepat pada masanya.
“Saya bangga apabila dapat memberi idea dalam video muzik di mana kami ingin paparkan situasi sebenar.
“Sebagai penyanyi baharu, semua ini memberi pengalaman kepada saya bagaimana hendak mewujudkan sesuatu yang bermula dengan idea,” katanya.
Selain itu, Diana mengaku gementar untuk bekerjasama dengan Amylea buat kali pertama.
Namun, Diana yang pernah merakamkan lagu duet bersama penyanyi terkenal British, Calum Scott, berjudul Heaven, bersyukur Amylea cukup profesional.
Berkongsi mengenai konsep video muzik, Diana berkata, klip itu memaparkan situasi individu yang sudah lama tidak pulang beraya di kampung halaman.
“Kami ingin paparkan apa yang dilakukan orang ramai pada Hari Raya. Disebabkan itu, kami buat peraduan dan mengikut pemenang balik ke kampungnya di Kelantan.
“Jadi, kami dapat rakam pertemuan individu terbabit bersama keluarganya selepas tidak pulang beberapa tahun. Apa yang dipaparkan tidak sama jika kita situasi itu kita reka.
“Disebabkan itu, kami mahu video muzik ini tampak realiti. Kami mahu tunjukkan bagaimana rasa kasih sayang meraikan Aidilfitri dengan keluarga tercinta.
“Pendek kata, konsep muzik video itu sedikit tenang tetapi penuh makna,” katanya.
Senandung Raya dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. – Agensi