Memilih terus positif dalam hidup, Diana Danielle yang sekali lagi bergelar ibu tunggal, mengakui Syawal kali ini tetap ceria biarpun dua anaknya, iaitu Muhammad dan Nur Aurora, beraya bersama bekas suami, Farid Kamil.
Menurut BH Online, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata tiada yang mengubah pendirian untuk menjalani kehidupan dengan baik, biarpun rumah tangga yang dibina selama 13 tahun, berakhir.
“Jujurnya, saya macam tiada perasaan.. Minta maaflah, saya tiada hendak menangis di bucu katil atau termimpi-mimpi, tiada. Saya hanya bersyukur, Alhamdulillah anak-anak sihat dan dia (Farid) sihat.
“Apa yang penting, apabila dia gembira, anak-anak saya gembira dan saya pun gembira. Walau apa pun, kami ada pertalian dan sehingga akhir hayat kami akan tetap bertalian.

“Jadi, saya harap Hari Raya akan baik-baik sahaja sebab dia akan bawa anak-anak pulang ke Kedah. Kali ini, giliran mereka ke Kedah dan saya tidak sedih,” katanya ditemui pada ketika majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Tidak menyifatkan perpisahan dengan Farid sebagai menyedihkan, Diana berkata, keputusan membawa anak-anak beraya di Kedah dibuat bersama Farid kerana mahu Muhammad dan Nur Aurora merasai keseronokan di kampung.
Diana bersyukur Muhammad dan Aurora faham situasi yang berlaku dalam keluarga sekarang.
Berkongsi perancangan beraya di Kuala Lumpur, Diana tiada masalah menyambut Syawal di ibu kota kerana ramai ahli keluarga dan kenalan bersamanya.
Tambah Diana, dia juga melihat perkara ini sebagai suatu peluang buatnya untuk berehat dan menikmati masa buat diri sendiri. – Agensi