Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diana pantau aktiviti anak di telefon

    Pelakon terkenal Malaysia, Diana Danielle, meluahkan rasa bimbang terhadap peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja ketika ini.

    Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui, situasi semasa membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam mendidik anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif.

    “Jangan kata saya risau, anak-anak pun turut risau bila lihat banyak kes di sekolah sekarang. Saya bersyukur kerana ayah mereka juga banyak membantu memantau dan mendidik,” katanya menurut BH Online.

    Diana berkata, bekas suaminya, pelakon dan pengarah Farid Kamil, memainkan peranan besar dalam memastikan keseimbangan antara aktiviti sukan dan pelajaran anak-anak.

    “Ayah mereka uruskan hal sukan, manakala saya ambil tanggungjawab bab pelajaran sebab rumah saya dekat dengan sekolah. Mereka ada latihan bola empat kali seminggu dan aktiviti itu lebih dekat dengan ayahnya,” jelas Diana.

    Diana akui jadual padat anak-anak dengan aktiviti fizikal memberi kesan positif terhadap perkembangan mereka. – Berita Harian

    Katanya, pembahagian tanggungjawab itu membantu memastikan anak-anak sentiasa aktif dan tidak terlalu terdedah kepada perkara negatif di luar.

    Menurut Diana, jadual padat anak-anak dengan aktiviti fizikal memberi kesan positif terhadap perkembangan mereka.

    “Ayah mereka rajin menyibukkan anak-anak dengan aktiviti. Bila mereka sibuk main bola, mereka penat dan tiada masa untuk benda lain. Aurora pun suka main bola, kalau bukan bola, dia akan sertai aktiviti sukan lain,” katanya.

    Tambahnya, pendekatan itu bukan sahaja menjauhkan mereka daripada pengaruh tidak sihat, malah membantu membentuk disiplin dan tanggungjawab.

    Bagaimanapun, Diana tidak menafikan kedua-dua anaknya tetap menggunakan telefon, namun beliau sentiasa memastikan penggunaan dikawal.

    “Setiap beberapa hari, saya akan periksa telefon mereka untuk lihat mesej, kenalan dan aktiviti. Dunia sekarang terlalu terbuka, jadi saya kena pantau supaya tiada individu luar yang cuba mendekati mereka,” katanya.

    Katanya, beliau turut bimbang dengan risiko eksploitasi terhadap kanak-kanak di platform permainan dan aplikasi mesej. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda