Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diane Keaton meninggal dunia akibat radang paru-paru

    Keluarga kepada pelakon terkenal Hollywood, Diane Keaton, mengesahkan bahawa mendiang meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Dalam satu kenyataan kepada majalah People baru-baru ini, keluarga Keaton berkata mereka ‘amat berterima kasih atas ucapan kasih sayang dan sokongan luar biasa yang diterima dalam beberapa hari kebelakangan ini.’

    Pengumuman mengenai kematian pelakon pemenang Anugerah Oscar itu pada 11 Oktober pada usia 79 tahun telah mencetuskan limpahan penghormatan daripada peminat dan tokoh Hollywood.

    “Beliau amat menyayangi haiwan peliharaannya dan sentiasa teguh menyokong komuniti gelandangan. Justeru, sebarang sumbangan bagi memperingatinya kepada bank makanan tempatan atau tempat perlindungan haiwan akan menjadi penghormatan yang amat kami hargai,” kata keluarga itu.

    Keaton mula meraih populariti pada 1970an melalui peranannya dalam filem arahan Woody Allen, Annie Hall, yang melayakkannya memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan melancarkan kerjaya filemnya selama beberapa tahun.

    Beliau turut dikenang melalui wataknya sebagai Kay Adams Corleone, isteri kepada watak Michael Corleone lakonan Al Pacino, dalam trilogi The Godfather.

    Sepanjang kerjayanya selama puluhan tahun di Hollywood, Keaton turut membintangi filem terkenal lain termasuk Reds, Father of the Bride dan Something’s Gotta Give. – Bernama

    Diane Keaton, disahkan meninggal dunia akibat pneumonia. – variety.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda