Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dianggarkan 16,500 maut semasa musim panas di Eropah

    PARIS, 17 SEPT – Para saintis menganggarkan hari ini peningkatan suhu akibat perubahan iklim berpunca daripada manusia, telah bertanggungjawab ke atas kira-kira 16,500 kematian di bandar-bandar Eropah pada musim panas ini.

    Kajian itu merupakan usaha terkini penyelidik iklim dan kesihatan untuk segera menghubungkan angka kematian semasa gelombang haba dengan pemanasan global, tanpa menunggu data rasmi yang biasanya mengambil masa lama.

    Jumlah kematian yang dianggarkan itu bukanlah angka sebenar yang direkodkan di bandar-bandar Eropah, sebaliknya ia adalah unjuran berdasarkan kaedah seperti pemodelan yang digunakan dalam kajian semakan sebelum ini.

    Namun, jumlah kematian semasa gelombang haba dipercayai jauh lebih rendah daripada angka sebenar, kerana rekod hospital biasanya mencatatkan kematian yang melibatkan masalah jantung, pernafasan atau penyakit lain yang terjejas teruk apabila suhu meningkat, terutamanya dalam kalangan warga emas.

    Menggunakan data sejarah yang menunjukkan bagaimana peningkatan suhu mendadak meningkatkan kadar kematian, kumpulan itu menganggarkan terdapat kira-kira 24,400 kematian berlebihan di bandar-bandar tersebut dalam tempoh itu.

    Hampir 70 peratus atau 16,500 daripada anggaran kematian berlebihan itu berpunca daripada pemanasan global, menurut kajian tersebut.

    Anggaran itu mencerminkan penyelidikan terdahulu yang disemak pakar bebas, seperti kajian dalam Nature Medicine yang memutuskan terdapat lebih 47,000 kematian berkaitan haba pada musim panas Eropah 2023.

    Kajian itu turut menyatakan Rom telah mencatatkan anggaran kematian tertinggi yang dikaitkan dengan perubahan iklim iaitu 835, diikuti Athens dengan 630 dan 409 kematian di Paris.

    Lebih 85 peratus daripada kematian berlebihan yang dianggarkan adalah dalam kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas. – AFP

    Rom mencatatkan jumlah kematian tertinggi yang dikaitkan dengan perubahan iklim pada musim panas ini, pada 17 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda