Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diarah hentikan kegiatan simpan barang buangan elektronik

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seorang penyewa rumah di Kampung Jangsak, Mukim Kilanas yang mengubah penggunaan rumah menjadi kegiatan perusahaan penyimpanan barang buangan elektronik telah diperintahkan untuk menghentikan aktivitinya dan membersihkan kawasan tersebut.

    Menurut Autoriti Perancang, penyewa tersebut telah melanggar Bab 23(2), Akta Perancang Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan perusahaan penyimpanan barang tanpa Kebenaran Perancangan.

    Keadaan di sekitar rumah itu telah dipenuhi dengan barang-barang buangan elektronik yang tidak teratur dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai dan kawasan sekitar.

    Kegiatan penyimpanan barang tersebut dijalankan di atas lot yang bersyaratkan perumahan am yang tidak sesuai untuk tujuan penyimpanan barang-barang perusahaan dan binaan.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dijalankan, pemilik telah mematuhi arahan Autoriti Perancang dengan menghentikan aktiviti, membersihkan kawasan dan memulihkan penggunaan asal sebagai rumah kediaman sahaja.

    Sehubungan itu, orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 Akta Perancang Bandar dan Desa, Penggal 248 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.

    Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000, dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan, orang ramai bolehlah menghubungi hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) di talian 8200222 atau melalui e-mel tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    Gambar menunjukkan rumah diubahsuai untuk dijadikan tempat menyimpan barang buangan elektronik di Kampung Jangsak. – GAMBAR SERAHAN JPBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda