Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diaz penyelamat Liverpool

    LONDON, 6 NOV – Luis Diaz menyelamatkan Liverpool daripada kekalahan mengejut di Luton selepas seri 1-1 awal pagi tadi dalam penampilan pertama sejak ibu bapanya diculik kumpulan gerila di Colombia.

    Pemain sayap itu masuk sebagai pemain simpanan selepas Tahith Chong meletakkan Luton di depan ketika permainan berbaki 10 minit.

    Diaz melompat tinggi dan menanduk gol penyamaan pada minit kelima masa kecederaan untuk menafikan kemenangan pertama Hatters di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

    Ibu Diaz telah diselamatkan beberapa jam selepas diculik pada 28 Oktober, tetapi pencarian masih diteruskan untuk ayahnya, Luis Manuel Diaz.

    Pemain berusia 26 tahun itu membuka jersinya yang mendedahkan perkataan ‘pembebasan untuk ayah’ selepas menjaringkan gol dan melakukannya sekali lagi selepas tamat permainan.

    “Ini adalah saat yang mengagumkan tetapi ia tidak mengubah situasi,” kata jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp.

    “Yang paling penting adalah ayahnya dibebaskan.

    “Mengagumkan apabila dia mahu ke sini. Bagi kami ia jaringan sangat penting apatah lagi kepada Diaz dan sangat emosi,” katanya.

    Namun semangat perjuangan Diaz tidak seperti prestasi rakan sepasukannya yang hampir dimalukan Luton.

    Liverpool menghabiskan lebih banyak wang untuk ketiga-tiga pemain tengah utama mereka pada musim panas ini berbanding Luton dalam pasaran pemindahan sejak permulaan Liga Perdana pada 1992.

    Skuad Rob Edwards hanya beberapa minit daripada mencipta kemenangan mengejut terbesar dalam sejarah EPL.

    Percubaan Darwin Nunez terkena palang ketika kedudukan 0-0 pada awal permainan manakala Mohamed Salah sepatutnya menanduk masuk dari jarak dekat ketika permainan berbaki 20 minit. – AFP

    Diaz menanduk bola untuk menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di Luton, England, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda