Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dibawa roh halus

    Oleh Nurhawie

    Ting, tong, ting, tong…. Kedengaran jam dinding berbunyi menunjukkan pukul 12 tengah malam. Namun mataku masih belum boleh terlelap. Aku keluar menuju ke beranda rumah untuk mengambil udara malam dan seterusnya melihat suasana halaman rumah pada waktu malam. Begitulah yang saya lakukan tiap-tiap malam jika tidak dapat tidur.

    Terjadilah pada satu malam, ketika saya sedang asyik memandang sekeliling terpandanglah seolah-olah ada kelibat seseorang sedang memandang sambil melambai-lambaikan tangannya dan memanggil saya. Pada mulanya saya tidak sangat mempedulikannya kerana saya fikir itu hanya khayalan saya sahaja, lagipun suasana agak gelap kerana bulan tidak begitu terang menyinari kawasan rumah saya.

    Pada keesokan malamnya pula, sekali lagi saya ternampak lagi seseorang yang melambai-lambaikan tangannya ke arah saya. Kali ini barulah saya dapat melihatnya tetapi tidak jelas kerana dia berada agak jauh dari rumah saya. Setelah saya memandangnya begitu lama, barulah saya berfikir untuk mengambil lampu picit dalam bilik untuk menyuluh ke arah orang tersebut. Apabila saya menyuluhnya, orang itu terus berpusing dan hanya kelihatan bahagian belakangnya sahaja. Kelihatan dia memakai baju berwarna putih dan kain berwarna merah. Tetapi agak menghairankan kerana kedua belah kakinya tidak mencecah tanah.

    Oleh kerana ingin melihatnya dengan lebih dekat lagi, saya memberanikan diri untuk pergi dan berjumpa dengan orang itu.

    Sebelum itu, saya menukar baju tidur saya kepada baju yang agak tebal sedikit kerana di luar sana agak sejuk. Selesai memakai pakaian, saya terus sahaja keluar rumah dan menuju ke arah orang tersebut.

    Gambar Freepik

    Di samping itu, saya juga menyuluh sekeliling. Semakin saya dekat dengan orang itu, orang itu pula berjalan menuju ke belakang meninggalkan saya. Lama-kelamaan orang itu berjalan memasuki ke dalam hutan dan terus sahaja menghilang di dalam semak. Sebaik sahaja melihat kejadian itu saya mula berfikir samada ingin memasuki hutan itu untuk melihat dengan lebih lanjut ataupun tidak, kerana agak bahaya juga memasuki hutan pada waktu malam disebabkan seribu macam kemungkinan akan berlaku kepada saya.

    Setelah memikirkannya, saya mengambil keputusan untuk membatalkan sahaja niat saya untuk mengekori orang itu, tetapi saya balik semula ke rumah dan apabila berada di dalam bilik, saya sekali lagi menjenguk keluar untuk melihat jika orang itu tadi kembali lagi di tempat dia mula-mula berdiri tadi.

    Pada keesokan pagi, seperti biasa semua seisi rumah saya akan berkumpul di ruang makan untuk menikmati sarapan pagi. Pada waktu inilah ayah berserta ibu bertanya sesalan dan pertanyaan kepada saya dan adik-adik mengenai pelajaran dan bermacam-macam lagi kerana tiap-tiap hari emak dan ayah selalunya pulang lewat malam daripada kerja. Tiba-tiba terkeluarlah satu soalan daripada mulut ayah.

    “Em… semalam kamu ada dengar tak sebarang bunyi seperti orang memanggil seseorang?” ayah bertanya.

    Sebaik sahaja ayah selesai bertanya, saya dengan cepat menjawab yang saya dan adik-beradik saya tidak mendengar apa-apapun. Saya tidak mahu memberitahu perkara sebenarnya kepada mereka kerana saya ingin mengetahui siapa gerangan orang yang menjelma pada malam semalam itu.

    Apabila selesai sarapan pagi, ayah dan emak pun pergi bekerja sementara saya dan adik-adik pergi ke sekolah dengan menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

    Apabila tiga malam berikutnya, sekali lagi saya terpandang orang itu lagi sambil melambai-lambai tangannya serta memanggil-manggil saya. Tanpa melengahkan masa, saya terus sahaja mengambil lampu picit dan terus keluar rumah.

    Semakin hampir saya mendekatinya semakin ke belakang pula dia bergerak sehinggalah dia memasuki ke dalam hutan dan hilang di kegelapan malam sementara itu saya berfikir sejenak samada memasuki hutan itu atau tidak. Setelah berfikir saya mengambil keputusan untuk memasuki ke dalam hutan itu kerana saya ingin mengekori ke mana arah jalan orang tadi. (Bersambung)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda