THE HAGUE, 4 MAC – Polis Belanda akhirnya berjaya menyelesaikan kes rompakan stesen minyak hampir sedekad selepas suspek menyerah diri, dipercayai kerana dibelenggu rasa bersalah.
Kes lama itu bermula pada 18 Januari 2016, apabila seorang perompak mencuri beberapa ratus euro dari sebuah stesen minyak di bandar Terneuzen, selatan Belanda.
Juruwang di stesen tersebut dapat memberikan keterangan terperinci tentang perompak dan polis segera membuka siasatan. Namun, usaha untuk menjejaki suspek gagal dan kes tersebut kekal tidak diselesaikan.
“Sehingga sekarang,” polis melaporkan dalam satu kenyataan gembira.
“Seorang lelaki berusia 28 tahun yang kini tinggal di Arnhem, dipercayai telah dihambat rasa bersalah dan baru-baru ini menyerah diri kepada polis di kampung halamannya,” kata pihak berkuasa.
Lelaki tersebut menyuarakan penyesalan atas jenayah yang dilakukan dan menyatakan niatnya untuk membayar balik wang yang dicuri.
Pendakwa kini sedang mempertimbang tindakan lanjut dalam kes itu. – AFP
