Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Permohonan enam pesalah untuk mendapat pindaan hukuman dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini apabila hukuman penjara secara berasingan atas dakwaan pecah amanah yang dikuatkuasakan ke atas mereka dipinda kepada berjalan secara serentak.
Hakim Dato Paduka Steven Chong membenarkan hukuman penjara bagi setiap tuduhan terhadap Sudarto, Afrizal Firdaus, Mochlis Sodikin, David Juliansen, Andhika Pramuditya dan Nur Alam Syah untuk dijalankan serentak.
Kesemua pesalah adalah antara sembilan pekerja Syarikat Wintermar yang sebelum ini dijatuhi 16 bulan, 24 bulan dan 32 bulan penjara.
Syarikat tersebut membekalkan perkhidmatan kapal pengangkutan ‘SMS Discovery’ kepada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP).
Kesemua pesalah mengaku bersalah kerana mengepam 60,000 liter minyak keluar dari Kapal SMS Discovery ke dalam kapal lain dalam dua kejadian berasingan antara 16 dan 17 November 2016 dan antara 7 dan 8 Disember 2016 di kawasan Platform Champion 7. Hasil daripada jualan minyak itu dibahagikan antara mereka.