Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diberkas menghambakan puluhan remaja

    BUCHAREST, 29 OGOS – Seorang lelaki warga Jerman dan empat yng lain diberkas di Romania atas dakwaan mengurung remaja bermasalah sebagai hamba, menurut para pegawai hari ini.

    Seorang juri mengarahkan kelima-lima mereka direman selama 30 hari, menurut peguam Jerman, Ioan Sas kepada AFP.

    Lelaki itu, yang mengasaskan sebuah program bagi anak remaja yang mempunyai masalah, dituduh menubuhkan sebuah kumpulan jenayah terancang, penyeludupan manusia dan pengasingan. “Tiada bukti ke atasnya,” kata Sas, menambah pusat itu masih terus beroperasi.

    Isteri lelaki itu dan dua yang lain, yang juga terlibat dalam program itu, telah ditahan di bawah kawalan kehakiman dan perlu melapor diri kepada polis sementara siasatan masih berjalan, menurut para pendakwa raya.

    Projekt Maramures, yang dibiaya oleh negeri Jerman, diberikan lesen oleh Kementerian Buruh Romania, menurut para penyiasat.

    Seorang jurucakap kementerian luar Jerman berkata negaranya tidak menyedari mengenai adanya masalah dalam tempoh 20 tahun.

    Namun pendakwa raya Romania mendakwa kanak-kanak remaja berusia 12 hingga 18 tahun dikurung dalam keadaaan ‘penghambaan’, dipaksa melakukan ‘kerja-kerja fizikal yang melelahkan’.

    Mereka dilayan dengan cara ‘hina dan menjatuhkan maruah’ di sebuah ladang dan di beberapa isi rumah di perkampungan Viseu de Sus, Maramures.

    Remaja-remaja itu dipukul, dihalang makan, tidak dibenarkan belajar atau mengambil ubat, tidak boleh menghubungi dunia luar dan menjadi sasaran ‘bagi pendidikan semula yang kasar dan ganas’, menurut para penyiasat.

    Seramai 20 orang berada di pusat tersebut ketika para pendakwa raya melakukan pengeledahan, dengan tujuh lagi di beberapa rumah lain, menurut agensi perlindungan kanak-kanak setempat.

    Empat kanak-kanak kini berada dalam penjagaan perkhidmatan sosial, menanti ibu bapa dan penjaga mereka.

    “Selebihnya masih berada di pusat tersebut, yang masih beroperasi seperti biasa,” katra Sas kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda