Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seorang lelaki telah disiasat oleh anggota detektif Balai Polis Limau Manis dan Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri.
Insiden tersebut terbongkar apabila keanggotaan detektif menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman suspek di Kampung Wasan, Limau Manis kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan curi yang dilaporkan di Balai Polis Sengkurong.
Semasa pemeriksaan, pihak polis menemukan satu peralatan yang mencurigakan dipercayai menyerupai senjata api.
Suspek yang ditahan merupakan seorang warganegara tempatan berumur 32 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Berikutan dengan penemuan itu, suspek berdepan dengan kesalahan di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58 yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dalam suatu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih daripada 12 sebatan.
Di kesempatan ini, PPDB menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar tidak mempunyai hasrat untuk memiliki, menyimpan atau membuat sebarang senjata api dan butiran peluru atau menyerupai sepertinya kerana ianya adalah merupakan suatu kesalahan yang berat di bawah undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
