ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
DARIPADA penulis tersohor, pemenang anugerah, karya terlaris The Cartel, yang memenangi undian Buku Terbaik Tahunan oleh lebih daripada 60 penerbit termasuklah The New York Times, Don Winslow kini kembali bersama sebuah novel yang tidak kurang hebat, penuh epik, The Force.
Di setiap kesudahan, kita mengetahui bagaimanakah ia bermula, namun bukanlah sebaliknya. Denny Malone bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis yang baik dalam menjalankan tugasannya. Dia yang juga dikenali sebagai ‘the King of Manhattan North,’ adalah seorang anggota polis berpangkat sarjan detektif yang sangat disanjungi, bahkan Malone juga adalah merupakan ketua sebenar kepada kumpulan unit gerakan yang dikenali sebagai ‘Da Force’.
Malone bersama kakitangannya adalah terdiri daripada pasukan elit yang terbaik dan terhebat dalam pelbagai bidang yang telah diberikan keistimewaan untuk menggunakan cara mereka sendiri dalam memerangi kumpulan-kumpulan kongsi gelap, taikun dadah dan pengedar senjata haram.
Setiap hari dan setiap malam dalam sepanjang 18 tahun dia berkhidmat, Malone telah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir. Dia telah melakukan segala-galanya untuk berkhidmat dan melindungi kota New York daripada anasir-anasir jahat dan rasuah yang bermaharajalela.

Kota New York adalah sebuah bandar raya yang kotor. Tiada siapa yang boleh dianggap sebagai suci, termasuklah Malone sendiri. Hanya segelintir sahaja yang mengetahui kerja-kerja kotor yang telah dilakukan oleh Malone. Malone dan anak-anak buahnya pernah menggelapkan jutaan dolar hasil rampasan dadah dalam operasi tangkapan dadah terbesar dalam sejarah kota itu. Kini Malone terperangkap dan berada dalam keadaan terdesak kerana di bawah pemerhatian ketat pihak berwajib.
Sanggupkah dia mengkhianati rakan-rakan seperjuangan sehidup semati, pasukannya, keluarganya dan wanita yang dicintainya untuk menyelamatkan dirinya sendiri, sementara kota itu mengalami pergolakan hebat yang mampu membinasakannya.
Novel The Force adalah sebuah novel mengenai pergolakan kehidupan seorang anggota polis yang dipenuhi drama. Diisikan dengan kisah mengenai ketamakan manusia dan keganasan, ketidaksaksamaan dan perkauman, jenayah dan ketidakadilan, balasan dan perjalanan kembali ke pangkal jalan.
Sebuah novel hebat bertemakan realisme kehidupan kota yang dipenuhi kejutan, turut diterapkan dengan humor gelap, kompleks moral dan isu-isu penuh kontroversi yang menghantui kita pada zaman ini.