TERENGGANU, 24 OKT – Seorang wanita yang menjaga suaminya yang terlantar selama enam tahun berikutan kemalangan kereta telah mengumumkan bahawa suaminya menceraikannya dan berkahwin dengan wanita lain selepas dia pulih baru-baru ini.
Nurul Syazwani telah mendokumentasikan kehidupan hariannya sebagai penjaga suaminya di media sosial selama bertahun-tahun, mempamerkan rutin sibuknya termasuk beri makan melalui tiub, tukar lampin dan bantu memandikannya.
Menurut laporan Oddity Central, suaminya telah cedera dalam kemalangan kereta dan memerlukan enam tahun untuk berjalan semula. Dedikasi dan khidmat baktinya kepada suaminya menarik 32,000 pengikut di Facebook sahaja, ramai daripada mereka terkejut apabila mengetahui bahawa suami Nurul Syazwani bukan sahaja menceraikannya selepas pulih tetapi juga telah berkahwin dengan wanita lain.
Ramai mendapat tahu perkembangan itu setelah Nurul mengucapkan tahniah kepada bekas suaminya dan pengantin barunya dalam hantaran Facebook.
“Tahniah buat suami saya, saya harap awak bahagia dengan yang awak pilih. Aifa Aizam, tolong jaga dia baik-baik seperti mana yang saya buat. Saya sudah selesai dengan dia, kini giliran awak pula untuk mengambil alih,” tulis Nurul dalam hantaran yang kini telah dipadam.
Berita penceraian Nurul pada 4 Oktober itu mengejutkan ramai pengguna media sosial Malaysia, dengan ramai yang enggan mempercayai bahawa seseorang boleh membalas budinya dengan meninggalkannya.
Beberapa pengikut yang lama mengikuti perjalanan Nurul dan suaminya di Facebook melahirkan kekecewaan mereka terhadap keputusan mengejutkan daripada suaminya itu.
“Pada masa itu, saya sangat takut setiap kali dia batuk,” kata Nurul Syazwani apabila mengenangkan masanya sebagai penjaga. “Saya melakukan aktiviti pemulihan untuknya setiap hari dan keluarga saya datang membantu setiap hari supaya saya dapat berehat. Saya juga sering membeli barang keperluan untuk anak dan suami seorang diri, yang pada masa itu membuat saya berasa sangat tertekan.”
Bagaimanapun, Nurul juga menegaskan bahawa dia berasa seperti bekas suaminya itu ‘telah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik’ dan meminta orang ramai berhenti mengganggu dia dan isteri baharunya, sambil menambah bahawa mereka telah bersetuju untuk bekerjasama untuk membesarkan anak perempuan mereka.
Bagaimanapun, pengikutnya tidak bersetuju.
“Saya tidak bersetuju bahawa dia telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami,” komen salah seorang pengikutnya.
“Bagaimana boleh wujud orang yang tidak bersyukur seperit ini? Nampaknya dia tidak ada hati,” antara komen lain.
Demi mengelakkan bekas suami dan isteri baharunya daripada kritikan orang ramai, Nurul Syazwani memadamkan hantaran asal Facebook miliknya dan memohon maaf kepada pasangan pengantin itu kerana banyak perhatian tertumpu kepada mereka. Dia juga meminta pengikutnya supaya berhenti menyalahkan bekas suaminya atas apa yang berlaku.
“Saya ingin memohon maaf kepada bekas suami, isteri baharunya dan keluarga mereka berhubung penularan hantaran saya di Facebook. Semua yang berlaku adalah kesilapan saya,” tulis Nurul. “Semua orang tertanya-tanya di Facebook. Jadi hantaran saya di Facebook kali ini bukan bertujuan untuk mendedahkan aib atau sindiran tetapi untuk mengelakkan fitnah,” jelasnya. – Agensi