Konflik antara penyanyi rap Amerika Syarikat, P. Diddy dan Cassie Ventura berakhir apabila kedua-duanya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan semua perbalahan tanpa melibatkan mahkamah.
Diddy atau Sean Love Combs, 54, dalam satu kenyataan memberitahu konflik antara mereka diselesaikan secara baik namun masih menetapkan syarat antara kedua-dua pihak.
“Saya telah membuat keputusan untuk selesaikan kes ini secara baik dengan syarat. Saya mendoakan Cassie dan keluarga dalam keadaan baik.
“Terima kasih kepada keluarga saya serta pihak peguam yang telah banyak memberi sokongan,” katanya.
Menurut laporan mStar, persetujuan tersebut dibuat susulan tindakan saman yang difailkan oleh Cassie terhadap Diddy atas dakwaan merogol serta melakukan keganasan secara fizikal.
Cassie sebelum ini dalam dokumen saman menyebut Diddy juga memberi pengaruh buruk kepadanya termasuk mula mengambil minuman beralkohol selain dadah.
Perbuatan tersebut dikatakan berlaku sepanjang tempoh dua tahun mereka bercinta ketika dia berumur 19 tahun.
Cassie juga memberitahu dia mengalami masalah tekanan mental dan pernah dimasukkan ke pusat pemulihan kerana terfikir untuk membunuh diri. – Agensi