NEW YORK, 14 FEB – Sean ‘Diddy’ Combs menyaman NBC Universal berhubung dokumentari yang dikatakannya secara palsu menuduhnya sebagai pembunuh bersiri yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur ketika dia menunggu perbicaraan ke atasnya.
Tuntutan yang difailkan kelmarin di mahkamah negeri New York mengatakan dokumentari bertajuk Diddy: Making of a Bad Boy termasuk kenyataan bahawa NBC Universal sama ada tahu adalah palsu atau diterbitkan secara melulu untuk memfitnah pengasas Bad Boy Records itu.
“Sememangnya, keseluruhan premis dokumentari berkenaan menganggap bahawa Combs telah melakukan banyak jenayah kejam, termasuk pembunuhan bersiri, rogol kanak-kanak bawah umur, dan pemerdagangan seks kanak-kanak bawah umur,” antara kandungan tuntutan berkenaan.
“Ia secara berniat jahat dan tidak berasas membuat kesimpulan bahawa Combs adalah ‘raksasa’ dan ‘penjelmaan Lucifer’ dengan ‘banyak persamaan’ dengan Jeffrey Epstein, ” tambah tuntutan itu.
Jurucakap NBC Universal dan syarikat hiburan yang menghasilkan dokumentari itu belum memberi komen.
Dokumentari itu telah ditayangkan pada bulan lepas di Peacock TV, satu perkhidmatan penstriman rangkaian.
“Dari zaman kanak-kanaknya hingga menjadi mogul, kisah perjalanan Sean Combs melalui rakaman eksklusif dan temu bual terang-terangan meneroka kebangkitannya, kontroversi dan lelaki di belakang muzik itu,” antara huraian dokumentari berkenaan di laman web Peacock.
Combs, yang menuntut ganti rugi tidak kurang daripada AS$100 juta, sedang berada di penjara persekutuan Brooklyn sejak penahanannya pada September atas pelbagai tuduhan. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/diddy.png)