Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Seorang individu telah dikenakan denda kompaun $100 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana melakukan kesalahan melanggar Bab 12 (1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu membuang puntung rokok di kawasan Pasar Malam, Gadong.
Individu berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun untuk menjelaskan denda tersebut.
Sekiranya gagal berbuat demikian, individu tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, orang ramai dan pemilik perniagaan diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.
