Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Seorang individu telah dikenakan denda kompaun sebanyak $100 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana didapati membuang puntung rokok di kawasan bangunan komersial, Kampung Sengkurong, hari ini.
Menurut kenyataan JASTRe hari ini, Muhammad Hazmi Safwan telah didapati melakukan kesalahan melanggar Bab 12 (1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan diberikan tempoh dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda kompaun.
Jika gagal menjelaskan bayaran denda kompaun, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Jabatan itu turut mengingatkan kepada mana-mana individu, orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.