Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 DIS – Sebuah syarikat di Kampung Pandan 4, Daerah Belait telah dikenakan denda kompaun berjumlah $1,000 setelah didapati menumpahkan bahan binaan yang tidak diingini berupa batu dan pasir ke dalam longkang awam yang mengakibatkan longkang tersebut tersumbat.
Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) mengeluarkan kompaun berkenan atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021.
Syarikat tersebut diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah, di mana jika sabit kesalahan akan berdepan denda antara $2,000 dan $10,000 untuk kesalahan pertama, dan antara $10,000 dan $30,000, penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya, untuk kesalahan berikutnya.
Sehubungan itu, JBKBS menggesa orang ramai dan pemilik syarikat untuk memastikan kebersihan kawasan sekitar dan membuang sampah di tempat yang ditetapkan.


