Oleh Nour Maghfirah –

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun didenda $18,780 oleh Mahkamah Majistret di Daerah Tutong hari ini kerana menyimpan rokok seludup di rumahnya di Kampung Batang Mitus.
Hearulizan bin Tawi perlu menjalani hukuman penjara 13 bulan jika gagal membayar denda tersebut kerana memiliki 12 karton dan 80 paket rokok pelbagai jenama tanpa kebenaran yang sah.
Majistret Hajah Normazdina binti Haji Md Maskub mendengar daripada pihak pendakwa kastam bahawa kesalahan itu terbongkar semasa operasi penguatkuasaan bersama pada 12 Jun 2024, kira-kira jam 5:50 petang, diketuai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dengan kerjasama pegawai-pegawai pencegahan kastam dari Unit Gerakan Kuala Belait (Kuala Belait Operations Unit), di bawah Bahagian Komersil dan Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.


