Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Didenda $24 juta

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Selepas menjalani perbicaraan selama beberapa bulan, seorang lelaki warga Indonesia telah diperintahkan untuk menyelesaikan denda berjumlah $24,900,000 kerana memiliki simpanan besar rokok seludup dan melanggar undang-undang imigresen.

    Atas kesalahan tersebut, dia juga dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dua minggu dengan tiga kali sebatan.

    Jika gagal membayar denda tersebut, Sumardi, 40, akan terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga tahun.

    Terdahulu, defendan telah menafikan pertuduhan memiliki kira-kira 2,260,289 paket rokok yang didapati telah diseludup.

    Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman telah mendapati defendan bersalah atas kesalahan tersebut.

    Defendan juga didapati memasuki Brunei tanpa pas yang sah meskipun dia mengetahui telah disenaraikan sebagai individu yang dilarang masuk ke negara ini.

    Gambar Freepik

    Berdasarkan bukti semasa perbicaraan rokok dan keterangan dakwaan imigresen, Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mendedahkan pegawai pencegahan kastam telah menyerbu kediaman defendan di Jalan Panchor Murai Kulapis, Kampung Pengkalan Batu pada 11 Januari lalu jam 5 petang.

    Defendan didapati bersembunyi di dalam semak berhampiran dan ditahan.

    Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan timbunan rokok yang disimpan di dalam kabin porter di luar rumah.

    Apabila mengesyaki dia telah melanggar undang-undang imigresen, pegawai menyerahkan defendan kepada pihak berkuasa imigresen yang mana penyiasatannya mendapati dia telah dilarang daripada memasuki Brunei namun dia didapati telah menetap di negara ini.

    Pihak berkuasa seterusnya mendedahkan defendan telah menyelinap masuk ke Brunei melalui sungai menggunakan bot dari negara jiran dan menuju ke Jeti Bangar di Daerah Temburong.

    Dia kemudian mencari jalan ke kediaman tersebut dengan menaiki kereta kenalannya.

    Defendan mengakui tujuannya memasuki Brunei secara haram adalah demi memperoleh $500 sebulan sebagai penjaga kediaman tersebut.

    Duti yang tidak dibayar untuk rokok itu berjumlah lebih $1 juta.

    Mahkamah seterusnya mengarahkan rokok itu dihapuskan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...