Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 9 MEI – Seorang individu dikenakan denda kompaun sebanyak $300 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana melakukan kesalahan melanggar Bab 12 (1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu membuang sampah pecahan batu konkrit dan kayu di kawasan Jalan Bukit Pendayan, Kampung Mengkubau pada 6 Mei lalu.
Individu berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda tersebut.
Kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada tindakan mahkamah, dan jika disabit bersalah, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, orang ramai dan pemilik perniagaan diingatkan untuk menjaga kebersihan serta mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.
