Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Mahkamah Majistret Kuala Belait hari ini menjatuhkan hukuman denda yang tinggi terhadap dua warganegara tempatan kerana memiliki dan menjual produk vape tanpa kebenaran.
Didi Nur Nabilah binti Muhammad Kanchang, 44, dan Mazlan bin Haji Mohd Yassin, 47, masing-masing perlu membayar denda $38,500, atau menjalani hukuman penjara 14 bulan jika gagal membayar denda.
Pertuduhan itu berpunca daripada kejadian pada 6 April lalu, apabila pegawai kastam menyerbu sebuah kediaman di kawasan STKRJ Kampung Mumong dan merampas pelbagai barangan vape. Barangan yang dirampas termasuk 44 vape pod, satu vape mod dan 23 botol jus vape, kesemuanya daripada pelbagai jenama.
Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mengarahkan semua produk vape yang dirampas diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.