Oleh Syahmi Hassan –
BELAIT, 27 MAC – Sebuah syarikat di Daerah Belait telah dikenakan kompaun kerana didapati menjual beberapa jenama susu tepung formula melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Syarikat Saisha Trading Company Sdn Bhd telah dikenakan kompaun $500 oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Menurut JPES, 10 notis amaran telah dikeluarkan sepanjang Januari dan Februari 2024 kerana ketidakpatuhan para peniaga terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Ketidakpatuhan yang didapati termasuk menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi minyak masak dan susu tepung formula, mempamerkan tanda harga yang tidak selaras dengan harga dalam sistem kaunter pembayaran dan kegagalan memaklumkan mengenai aktiviti jualan murah.
Para peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Ia juga termasuk kawalan harga secara sementara iaitu Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) ke atas barangan makanan terpilih sepanjang bulan Ramadan hingga minggu pertama bulan Syawal 1445 Hijrah, yang dihasratkan untuk mengekalkan kemampuan dan kemudahan pengguna untuk memperolehi keperluan semasa musim perayaan.
Sebarang ketidakpatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan. Bagi kesalahan pertama di bawah kategori kesalahan yang sama, notis amaran akan dikeluarkan.
Bagi kesalahan seterusnya di bawah kategori kesalahan yang sama, boleh dikenakan kompaun secara berperingkat mengikut kekerapan kesalahan dilakukan, dengan jumlah tidak melebihi $1,000 menurut Bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Jika masih didapati melakukan kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum $20,000 dan penjara lima tahun oleh mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Para peniaga juga disarankan untuk sentiasa mengamalkan persaingan yang sihat dengan menawarkan harga yang kompetitif di bawah harga maksimum yang ditetapkan.
Senarai harga maksimum boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn.
Aduan mengenai barangan yang dikawal harga boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi PenggunaBijak dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran atau gambar sebagai bukti, bagi penilaian lanjut. Aduan juga boleh disalurkan melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn.