Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Seorang wanita warga Vietnam dihukum denda $700 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Nguyen Thi Duong, 30, mengaku bersalah atas tuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Batu Bersurat.
Jika gagal membayar denda, Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman sebulan penjara.
Tertuduh berada di negara ini menggunakan pas melawat pada 18 April 2018 dan diberkas anggota polis melalui Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat pada 24 April kira-kira jam 4:26 petang di hotel tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.