Didenda lebih $14,000 miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Seorang lelaki warga Malaysia yang berdepan pertuduhan memiliki 21 karton rokok seludup pelbagai jenama dijatuhi hukuman denda $14,240 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu memutuskan hukuman itu terhadap Mohd Al Laziem bin Abdullah, 22, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jika gagal membayar denda, defendan turut diperintahkan untuk menjalani hukuman 13 bulan penjara.

Kertas pertuduhan menyebut, defendan didakwa memiliki rokok tanpa cukai di dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kastam, Kuala Lurah kira-kira pukul 7:25 malam pada 20 Februari 2020.