Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid Sabtu lalu telah memerintahkan seorang warganegara Filipina untuk menyelesaikan denda $43,400 kerana memiliki sejumlah besar rokok dan minuman keras yang tidak diisytiharkan.

Archie Galvan Sace, 34, perlu menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda.
Pendakwa Raya Kastam memaklumkan mahkamah bahawa defendan ditahan selepas pegawai pencegahan kastam menemui 25 karton dan 45 paket rokok, dan enam botol minuman keras dari dua buah premis perniagaan di Kampung Kiarong dan Jalan Gadong pada 12:45 tengah hari, 4 Januari lalu. Defendan mengakui pemilik barang rampasan yang ditemui.
Mahkamah juga memerintahkan barang rampasan itu dilucuthakkan dan dimusnahkan.

