Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Mahkamah Majistret pada Selasa mendenda seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan $50,160 kerana memiliki rokok seludup, dengan hukuman penjara selama 15 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwa raya kastam mendedahkan Mohammad Sufri bin Suhaili ditangkap dengan memiliki 35 karton dan 152 paket pelbagai jenama rokok di rumahnya di Kampung Sungai Lalit, Lumut, dalam operasi bersama pegawai-pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) pada 25 Julai 2022.
Mohammad Sufri yang hadir di hadapan Majistret Abdul Azim bin Othman, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006 kerana memiliki rokok tanpa cukai.
Mahkamah turut memerintahkan rokok yang dirampas untuk dimusnahkan dan wang tunai $30 yang diperoleh hasil jualan rokok dilucutkan kepada kerajaan