Didenda lebih suku juta miliki barang tegahan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak $293,000 ke atas seorang lelaki penduduk tetap berusia 39 tahun setelah mengaku bersalah memiliki lebih daripada 300 karton rokok dan beberapa minuman keras.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim mengarahkan Ting Lai Soon dipenjarakan selama 32 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Noradliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi mendedahkan bahawa siasatan serta pemeriksaan yang dikendalikan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 29 April di sebuah kawasan di sepanjang Jalan Maulana, Kuala Belait terhadap sebuah kereta yang dipandu oleh tertuduh telah menemui sejumlah 314 karton rokok pelbagai jenama dan minuman beralkohol di dalam kereta tersebut.

Tertuduh diberikan tempoh selama 36 bulan untuk melunaskan bayaran denda terhadapnya itu.