Didenda tekan tubi

DENPASAR, INDONESIA, 20 JAN – Warga asing yang ditangkap tidak memakai penutup mulut dan hidung di pulau peranginan Bali, Indonesia adalah tertakluk kepada hukuman luar biasa iaitu tekan tubi.

Rakaman video yang tular dalam media sosial minggu ini menunjukkan pelancong-pelancong berbaju kemeja T dan seluar pendek telah diarahkan untuk melakukan senaman itu dalam keadaan cuaca yang panas terik ketika para pegawai keselamatan berdiri di samping mereka.

Pihak berkuasa Bali menekankan pemakaian penutup mulut dan hidung sebagai mandatori kepada semua tahun lalu ketika Indonesia bergelut menangani penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, beberapa hari kebelakangan, puluhan warga asing telah didapati tidak memakai penutup mulut dan hidung, kata pegawai keselamatan, Gusti Agung Ketut Suryanegara.

Lebih 70 orang membayar denda sebanyak 100,000 rupiah (AS$7), tetapi kira-kira 30 yang lain berkata mereka tidak mempunyai wang.

Sebaliknya, mereka diarahkan untuk melakukan tekan tubi.

Mereka yang tidak membawa penutup mulut dan hidung terpaksa untuk melakukan tekan tubi sebanyak 50 kali, manakala mereka yang tidak memakainya dengan betul diarahkan melakukannya sebanyak 15 kali.

“Pada awalnya, mereka akan mengatakan mereka tidak mengetahui peraturan itu. Kemudian mereka berkata mereka lupa,” kata Suryanegara kepada AFP. – AFP

Seorang pegawai melihat seorang lelaki melakukan tekan tubi sebagai hukuman tidak memakai penutup mulut dan hidung semasa pandemik ini, di sepanjang jalan Bandung, Bali pada 20 Januari. – AFP