Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Didesak, Celaru?

    Oleh Rafidah Jumat

     

    pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Seorang lelaki yang menumbuk seorang pengawal keselamatan wanita telah menukar pengakuan kepada ‘tidak bersalah’ di Mahkamah Majistret, hari ini.

    Mohammad Hassanal bin Haji Abdul Rahman, 34, memaklumkan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli bahawa dia ragu-ragu mengenai pengakuan bersalah yang telah direkodkan dalam sebutan awal pada 15 Februari.

    Dia turut memberitahu mahkamah yang dia rasa seperti didesak untuk membuat pengakuan salah.

    “Adakah mahkamah memaksa kamu untuk mengaku bersalah,” tanya Ketua Majistret, dan dijawab tidak oleh tertuduh.

    Ketua Majistret meminta tertuduh untuk memberikan sebab kenapa dia ingin menukar pengakuannya sedangkan dalam sebutan terdahulu, tertuduh telah pun mengaku bersalah dan juga bersetuju dengan fakta-fakta kes.

    Tertuduh memberitahu yang dia dalam keadaan bercelaru ketika pengakuan direkodkan ketika itu, dan tidak pasti sama ada untuk membuat pengakuan bersalah atau tidak.

    Mohammad Hassanal berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan kepada pengawal keselamatan wanita dengan menumbuk muka dan kepalanya beberapa kali yang mana kesalahan ini memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

    Dia juga berdepan tuduhan mencetuskan gangguan di tempat awam yang membawa denda $1,000 dan hukuman setahun penjara.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Gedung Perniagaan Hua Ho, Kompleks Yayasan pada 6 Februari 2017 sekitar jam 2:15 petang.

    Laporan perubatan yang diterima dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagaimanapun menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

    Ketua Majistret menetapkan 4 Mac untuk memaklumkan sama ada untuk menerima pengakuan tidak bersalah tertuduh tetapi jika pengakuan bersalah dikekalkan, sebutan hukuman akan diadakan pada tarikh yang sama.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda