BEIJING, 30 JULAI – Didi Global Inc hari ini menyangkal laporan oleh The Wall Street Journal mengatakan syarikat sedang menimbang membeli balik saham yang diniagakan di Amerika Syarikat (AS) selepas penyenaraian di bursa saham pada Jun terjejas oleh arahan kerajaan China untuk membaik pulih keselamatan data.
Jurnal itu, memetik sumber tidak dikenal pasti, berkata pembelian balik saham merupakan satu pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh Didi dan pengurus banknya untuk menyelesaikan aduan pelabur. Harga saham Didi merosot kira-kira 25 peratus sejak disenaraikan pada 30 Jun selepas syarikat itu dihalang daripada menambah pelanggan baharu sementara ia membaik pulih bagaimana ia mengendali data mereka dan pengawal selia mengumumkan kajian semula keselamatan rangkaian syarikat.
“Syarikat mengesahkan maklumat yang diberikan di atas adalah tidak benar,” kata Didi di laman webnya. “Syarikat bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kerajaan relevan di China dalam kajian semula keselamatan siber syarikat. Kenyataan ringkas itu tidak memberikan maklumat mengenai kajian semula keselamatan, bila operasi normal mungkin disambung atau opsyen yang sedang dipertimbangkan sebagai respons terhadap aduan pelabur.
Didi, beribu pejabat di Beijing, mengumpul kira-kira AS$4.4 bilion dalam tawaran sahamnya.
Ia adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang dikenakan peraturan anti-monopoli, keselamatan data dan peraturan lain.
Badan pengawal selia ruang siber China berkata ia menemui ‘pencabulan serius’ dalam cara Didi mengumpul dan menyimpan maklumat peribadi. Ia berkata syarikat sepatutnya ‘menyelesai masalah’ namun tidak memberikan butir lanjut. Didi seterusnya diarahkan mengeluarkan 25 daripada aplikasinya dari kedai dalam talian. – AP
