Pernah menjaja sate di tepi jalan dan menjual pakaian dalaman wanita di kelab malam demi mencari sesuap rezeki untuk menanggung lima cahaya mata, namun, keperitan hidup dilalui tidak diketahui ramai.
Berkongsi pengalaman sebagai ibu tunggal pada program Bicara Inspirasi Nona, pengacara dan pelakon popular, Didie Alias menyifatkan dugaan hidup menjadikannya sebagai wanita teguh seperti hari ini.
Didie berkata, dia pernah melalui tempoh sukar selepas bercerai dengan bekas suami pertama yang juga aktor, Ridzuan Hashim.
Katanya, tidak hanya kerjaya seni yang dibina sejak menyertai pertandingan Dewi Remaja pada 1990 malap, malah turut diuji tiada pekerjaan.
“Saya menjual sate di tepi jalan kerana tiada siapa mahu ambil saya bekerja. Saya buat apa sahaja untuk anak-anak.

“Saya bekerja pagi, petang dan malam. Saya tidur beberapa jam hanya untuk membesarkan anak.
“Ia satu tanggungjawab yang besar. Jujurnya, ramai menghina dan mencaci hanya kerana saya ibu tunggal. Tetapi, saya serahkan diri pada Allah dan berdoa agar tidak berputus asa selagi saya menjaga lima cahaya mata.
“Alhamdulillah, Allah tidak pernah putuskan kewangan saya biarpun hanya RM5 dalam poket. Dengan duit ini, saya suapkan makanan dalam mulut anak.
“Ketika itu, saya hanya mampu memberikan anak bubur dan garam. Itu pun sudah cukup untuk saya menggembirakan mereka,” katanya.
Tidak dapat menahan sebak berkongsi pengalamannya, Didie turut memaklumkan pernah menjual pakaian dalaman wanita di kelab malam demi membesarkan anak.
“Saya berniaga pakaian dalam di kelab malam. Saya ke Danok, Thailand membeli pakaian dalaman wanita dan menjualnya di kelab.
“Tetapi, saya tidak bekerja dalam kelab. Ia bermakna rezeki ada di mana-mana dan saya buat apa sahaja demi anak. Allah berikan saya amanah lima cahaya mata untuk dijaga, jadi saya percaya rezeki yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, Didie dan Ridzuan yang juga pelakon popular era 1990an mendirikan rumah tangga pada 1991 sebelum berpisah pada 2000.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima cahaya mata, Nurdhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dinie, Nur Dayini Ahza, dan Nur Diyana.
Kini, pelakon Takdir Yang Tertulis dan Cukup Derita Itu sudah mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Norisham Ismail pada Mei 2009. – Bernama