Gabungan alam semula jadi dan aktiviti seni mampu menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak – secara fizikal, mental, emosi dan kognitif.
Menghabiskan masa di luar rumah, khususnya di kawasan hijau seperti taman, memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Kajian menunjukkan bahawa hubungan dengan alam semula jadi dapat membantu mengurus beberapa keadaan fizikal dan mental.
Dalam masa yang sama, aktiviti seni juga menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan kanak-kanak.
Projek seni dan bentuk permainan kreatif memberi peluang kepada mereka untuk meneroka, berinteraksi serta memahami dunia sekeliling.
Apabila kedua-duanya digabungkan, pengalaman ini menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan.
Berikut adalah beberapa idea aktiviti seni berasaskan alam semula jadi mengikut peringkat umur.
UNTUK ANAK DAMIT DAN KANAK-KANAK PRASEKOLAH
Fokus kepada aktiviti yang melibatkan sentuhan dan penerokaan deria, seperti melukis menggunakan jari dengan lumpur, mencetak menggunakan daun atau melukis di atas tanah menggunakan ranting. Aktiviti ini lebih kepada pengalaman deria, bukan hasil akhir.
Cadangan aktiviti:
Gunakan gunting keselamatan untuk menggunting daun atau tebuk kelopak bunga dengan penebuk lubang.
Kumpul objek seperti daun, buah benih, batu bertekstur, bulu burung, kon pain dan kulit siput.
Letakkan sekeping kertas di atas objek tersebut dan galakkan anak menconteng menggunakan krayon untuk mendedahkan tekstur.
Minta anak menggunakan pelbagai warna dan tanya warna kegemaran mereka.
Galakkan anak membuat kolaj dengan memotong dan menampal hasil lukisan
atau bentuk pilihan mereka di atas kertas lain.
Gunakan ranting, daun, rumput dan tali untuk membina arca kecil.
Lekatkan kelopak bunga, kulit pokok atau kon pain di atas pinggan kertas yang
disapukan gam untuk menghasilkan karya seni.
Aktiviti-aktiviti ini membantu memperkukuh kemahiran motor kasar dan halus serta mengenal pasti warna secara kognitif.
UNTUK KANAK-KANAK SEKOLAH RENDAH
Apabila kanak-kanak meningkat usia, mereka boleh merancang sendiri projek seni. Sebagai contoh, mereka boleh mencipta topeng haiwan menggunakan bahan semula jadi atau melukis cerita tentang burung atau arnab yang dilihat.
Cadangan aktiviti:
Lukisan kapur di atas lantai pejalan kaki atau permukaan keras yang selamat. Pastikan kawasan tersebut bebas daripada lalu lintas.
Galakkan anak melukis pemandangan alam sekeliling atau motif seperti pelangi dan reka bentuk abstrak.
Cat batu atau kulit siput yang dikutip menggunakan cat boleh basuh dan berus kecil atau pen penanda.
Cabar anak untuk menghasilkan rekaan berwarna-warni. Bantu mereka merancang untuk menambah butiran selepas lapisan pertama kering.
Hasil seni ini boleh dihias di rumah atau dihadiahkan kepada keluarga, jiran dan rakan-rakan.
Kon pain dan buah benih bersaiz besar juga boleh dicat dan dihias.
Buat kolaj pelekat menggunakan pelekat lutsinar dan daun atau kelopak bunga.
Buat bingkai menggunakan kertas warna atau kadbod nipis dan lekatkan pada karya seni.
Semasa merancang dan mengukur bingkai, anak awda mempraktikkan kemahiran motor serta mengasah kemahiran kognitif dan matematik.
Teknik menekan bunga turut boleh dilakukan sebagai versi lain kolaj pelekat.
Gunakan tuala kertas, kertas hiasan, lapisan surat khabar, dua papan (seperti papan pemotong) dan objek berat seperti buku besar atau batu.
Susun mengikut turutan – papan, surat khabar, kertas hiasan, bunga, tuala kertas, surat khabar, papan dan objek berat di atas sekali.
Biarkan selama satu hingga dua minggu sebelum membuka. Untuk kanak-kanak yang sukar menunggu lama, tampal sahaja bunga dan kelopak terus pada kertas.
UNTUK KANAK-KANAK PERTENGAHAN
Apabila anak semakin membesar, mereka boleh menggabungkan teknologi dalam aktiviti seni berasaskan alam semula jadi. Fotografi alam adalah salah satu cara yang menyeronokkan.
Cadangan aktiviti:
Gunakan kamera digital atau telefon pintar lama tanpa sambungan internet untuk mengambil gambar.
Galakkan anak meneroka sudut menarik seperti rakaman perspektif rakan ‘memegang’ bulan atau cahaya matahari menembusi pokok.
Kumpulkan unsur alam seperti burung, bunga liar, bentuk awan dan matahari terbenam melalui gambar.
Tanya mengapa mereka memilih sesuatu subjek dan bantu mereka menyusun album digital atau cetak, atau menghasilkan seni digital menggunakan perisian grafik.
AKTIVITI TAMBAHAN
Beberapa aktiviti lain yang boleh memperkaya pengalaman anak-anak dengan alam semula jadi dan seni termasuk:
Kunjungi muzium dan pameran seni dari pelbagai tradisi budaya.
Tonton gambar alam atau buku bertema alam bersama-sama untuk inspirasi.
Lukis menggunakan cat air di luar rumah, seperti pelukis impresionis – tangkap perbezaan cahaya pada pokok atau bunga sepanjang hari.
Wujudkan stesen seni luar rumah, menggunakan cadar lama atau kadbod sebagai kanvas. Gunakan berus yang diperbuat daripada daun atau rumput.
Cipta pameran seni bermusim di dinding atau rak khas untuk mempamerkan hasil karya anak. Tukar mengikut musim.
KESIMPULAN
Dengan menggabungkan keindahan alam semula jadi dan aktiviti seni secara langsung, ibu bapa memberi peluang kepada anak untuk belajar, berkembang dan berhubung dengan dunia sekeliling secara lebih mendalam.
Selain menggalakkan ekspresi kreatif, aktiviti-aktiviti ini juga menyumbang kepada pembangunan kognitif dan fizikal.
Yang paling penting, ia mencipta kenangan indah yang akan dikenang anak sepanjang hayat.
Jadi, sediakan bahan, luangkan masa di luar dan biarkan alam menjadi guru seni pertama anak awda. – ANN/The Star