Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Didik belia jadi penjaga alam sekitar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC) dan Pejabat Perubahan Iklim Brunei (BCCO) telah menjalin kerjasama inisiatif baharu Minda Hijau: Program Kesedaran Biodiversiti dan Iklim Belia, direka sebagai pengalaman pembelajaran secara langsung di mana golongan muda boleh meneroka alam semula jadi dan mempelajari tentang perubahan iklim di dalam kampus.

    Program yang telah dijalankan secara rasmi pada 6 Ogos itu menghimpunkan 31 pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Meragang.

    Dengan matlamat menyeluruh untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada generasi muda Brunei untuk menjadi penjaga alam sekitar, program pendidikan yang menumpu kepada belia ini bertujuan untuk membantu golongan muda lebih memahami krisis berkembar perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, dua daripada cabaran paling ketara yang dihadapi dunia.

    Memfokuskan pada kesan isu-isu ini ke atas Brunei, program tersebut mengetengahkan tumbuhan dan haiwan unik negara serta kepentingan alam semula jadi.

    Selain itu, program berkenaan juga menunjukkan bagaimana menjaga alam semula jadi dan memerangi perubahan iklim berkait rapat dan bagaimana usaha ini menyokong matlamat Brunei untuk masa depan yang lebih baik dan lebih mampan.

    Pembantu lapangan UBD BRC semasa membawa para pelajar meneroka laluan baru dibuka di Trek Mendaki Kerangas dalam kawasan taman UBD BRC. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD

    Program tersebut mempunyai empat objektif utama iaitu membantu pelajar memahami perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti dan bagaimana ia memberi kesan kepada dunia dan Brunei; menunjukkan bagaimana isu-isu ini berkait antara satu sama lain dan dengan matlamat global; membina penghargaan terhadap persekitaran semula jadi Brunei yang kaya; dan menggalakkan pelajar mengambil tindakan untuk melindungi alam semula jadi dan iklim.

    Melalui aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif di taman botani termasuk ceramah, perbincangan kumpulan, berjalan kaki berpandu melalui denai hutan UBD BRC Kerangas, dan aktiviti langsung mengenai kajian ekologi hutan, pelajar akan belajar bagaimana perubahan iklim dan biodiversiti dihubungkan, dan mengapa isu ini penting dalam kehidupan seharian mereka.

    Pengalaman itu akan membantu mereka berfikir dengan lebih mendalam tentang alam sekitar, menghargai alam semula jadi dan berasa terinspirasi untuk bertindak.
    Program tersebut akan ditawarkan oleh BRC UBD dalam empat sesi dan akan dibuka kepada pelajar dari sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

    Sekolah dan institusi pengajian tinggi yang berminat boleh menghubungi Pusat Penyelidikan Botani UBD untuk butiran lanjut mengenai sesi dan pendaftaran yang akan datang di office.brc@ubd.edu.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Rockets atasi Cavs