Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Wira Fajar yang merupakan Program Belia Sembahyang Fardu Subuh berjemaah di Masjid bagi Tahun 1442H/2021M anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan belia-belia masjid telah diadakan di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lambak Kiri, pagi tadi.
Hadir pada program tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said serta pegawai-pegawai kanan KKBS.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhammad Wafiuddin bin Muhammad Wajeeh, diikuti dengan tazkirah Subuh bertajuk ‘Belia dan Semangat Patriotisme’ oleh penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Pengarah Pengurusan Al-Minhaj Centre, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.
Wira Fajar diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Ketua Belia Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri, Awang Muhammad Nabil Waqiuddin bin Haji Muhammad sebelum diakhiri dengan sembahyang Sunat Duha.
Majlis turut disertai seramai 270 orang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Takmir Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri; pegawai-pegawai kerajaan; persatuan dan pergerakan belia; belia-belia masjid serta penduduk sekitar Kampung Lambak Kiri.
Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid kali ini merupakan salah satu acara dalam Festival Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 tahun ini.
Antara lain tujuan program ini diadakan adalah bagi mendidik para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat terutama sekali dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid.
