Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Didik belia tentang kepentingan perancangan kewangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sebagai salah satu inisiatifnya bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan daripada peringkat awal khususnya dalam kalangan belia, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah menyertai sesi kongsi sama yang dianjurkan oleh Majlis Belia Brunei di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, sesi berkenaan merupakan program celik kewangan yang telah disertai oleh seramai 39 orang pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang sedang menjalankan Program Discovery Year di universiti tersebut.

    Sesi berkenaan disampaikan oleh Ketua Unit Perkhidmatan Perancangan Persaraan TAP, Dayang Sri Nazrina binti Haji Johari yang menyentuh mengenai kepentingan perancangan kewangan untuk diamalkan sejak awal lagi bagi mencapai financial independence, iaitu bertanggungjawab ke atas keperluan kewangan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

    Beliau menekankan kepentingan memiliki pendapatan sama ada dari pekerjaan formal ataupun bekerja sendiri, mengawal perbelanjaan dengan mengutamakan keperluan daripada kemahuan, membuat bajet, membuat simpanan-simpanan penting seperti simpanan kecemasan dan simpanan persaraan, membuat pelaburan, memiliki perlindungan kewangan (takaful / insurans) dan mengelakkan daripada berhutang.

    Selain itu, peserta turut mengikuti aktiviti Big Dreams 2.0 iaitu mensimulasikan keperluan pada masa hadapan, di mana peserta diberikan andaian memiliki pendapatan bulanan dan membuat pilihan gaya hidup yang memerlukan wang seperti rumah impian, kereta impian, destinasi percutian, pendapatan persaraan impian, dan sebagainya.

    Melalui aktiviti ini, peserta dapat membayangkan impak pilihan mereka terhadap pendapatan bulanan dan membuat pertimbangan sama ada menyimpan, atau berhutang, atau menambahkan pendapatan, bagi mencapai impian mereka.

    Turut dikongsikan semasa sesi berkenaan adalah maklumat ringkas mengenai TAP dan peranannya apabila peserta melangkah ke alam pekerjaan nanti serta keperluan simpanan TAP sebagai salah satu sumber pendapatan untuk kegunaan persaraan.

    Sesi berkenaan turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

    Program Celik Kewangan bersama Majlis Belia Brunei. – Gambar serahan TAP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda