Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Taklimat Program Kesedaran Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30, Pindaan 2021 bagi Tahun 2025 telah diadakan di beberapa buah sekolah rendah dan sekolah agama terpilih di kawasan Bandar Seri Begawan serta Daerah Brunei dan Muara.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata dan Sekolah Rendah Pulaie, yang mengikuti taklimat ini masing-masing pada 25 dan 27 Februari.
Taklimat program tersebut telah disampaikan oleh pegawai daripada Bahagian Pengawalan dan Penguatkuasaan Bandar, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB).
Program ini antara lain menerapkan konsep kebersihan dalam Islam serta menjunjung nilai patriotisme dalam memelihara kebersihan, yang merupakan tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat sebagai sebahagian daripada kewajipan bernegara.
Antara matlamat utama program ini adalah untuk mendidik masyarakat, khususnya kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, agar memahami peranan mereka dalam mengekalkan kebersihan melalui pendidikan, pengajaran, dan amalan kebersihan yang betul.
Program ini diharapkan dapat melahirkan generasi yang cintakan kebersihan, bertanggungjawab, dan berdisiplin dalam menjaga kebersihan negara pada masa akan datang.
JBBSB turut meyakini dan berharap agar program seperti ini dapat memperluaskan misi ‘Brunei Bersih’ serta memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya para pelajar.
Selain itu, program ini juga selaras dengan misi memperkukuh budaya kebersihan sejak peringkat awal pendidikan.
Beberapa aktiviti interaktif turut diadakan, termasuk latihan disiplin diri dan sesi pencambahan minda berkaitan kebersihan, bagi memupuk budaya menjaga kebersihan sejak kecil.