Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Penekanan terus dibuat untuk menerapkan konsep kebersihan dalam Islam dan menjunjung konsep patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Dalam hubungan itu, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) selain daripada mengadakan Jerayawara Brunei Bersih ke sekolah-sekolah, ia turut mengadakan Program Pemberigaan Kesedaran Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30, Pindaan 2021 yang dilaratkan lagi di sekitar kawasan Bandar Seri Begawan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, program pembarigaan itu dilaksanakan semasa Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JBBSB pada 17 hingga 20 Julai.
Semasa pembarigaan berkenaan, pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang telah mengagihkan risalah, poster dan pelekat khas ‘Brunei Bersih’ serta memberikan penerangan mengenainya.
Program yang bertemakan ‘Brunei Bersih’, antara lain menerapkan konsep kebersihan dalam Islam dan menjunjung konsep patriotisme terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat sebagai tanggungjawab bernegara.







Ia bermatlamat untuk mendidik masyarakat orang awam secara amnya dan penjaja-penjaja secara khasnya dalam sama-sama memainkan peranan penting bagi mengekalkan usaha-usaha kebersihan melalui wadah pendidikan, pengajaran daripada tatacara kebersihan yang sewajarnya.
Program itu diharapkan akan dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam sama-sama menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.
JBBSB yakin dan berharap supaya program seumpama itu akan dapat membawa slogan ‘Brunei Bersih’, secara meluas serta berharap ia akan memberi impak khasnya kepada peniaga-peniaga dan pengunjung sepanjang perayaan itu tentang impak kebersihan keselamatan dan kesihatan alam sekitar.
Pada masa yang sama, jabatan itu turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi sebarang aduan dan perkongsian maklumat ke Talian E-Darussalam 123, e-mel kepada Info@123.gov.bn, laman sesawang www.123.gov.bn, WhatsApp di talian 8333123 atau Hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang di talian 7291122.

