Didik pelajar cintai Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh JPI

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) diadakan adalah sebagai mendukung dan menjunjung tinggi hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di mana pendidikan agama khususnya Al-Quran peringkat asas perlu dititik beratkan agar ia kukuh dan mantap.

Sehubungan itu, seramai 239 orang daripada murid-murid Darjah Pra hingga Darjah V yang terdiri daripada 119 orang murid lelaki dan 120 orang murid perempuan yang mewakili 17 buah sekolah-sekolah agama kawasan Brunei III diraikan selepas berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran 30 juzuk melalui program 1M1J.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama di sini, di antara murid yang diraikan di majlis berkenaan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah.

Majlis yang diadakan di Dewan Ar Rahmah, Kompleks Min-Nun Jaya, Jalan Bebatik Kilanas itu dihadiri oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga An-Nas oleh peserta khatam; bacaan Takhtim oleh guru-guru agama perempuan Brunei III dan seterusnya bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh salah seorang peserta khatam.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh guru-guru agama lelaki Brunei III, diikuti dengan acara merenjis minyak wangi serta penyampaian sijil khatam oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Guru Besar Sekolah Ugama Jerudong, Haji Mohd Said bin Haji Mustafa.

Majlis antara lain bertujuan bagi memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran murid-murid di sekolah ugama menerusi amalan membaca Al-Quran secara bertalaqqi dan sekali gus menyuntik dan mendidik murid-murid agar sentiasa membaca, mencintai, mendengar Al-Quran sebagai amalan harian mereka.

YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah ketika menerima sijil pada majlis tersebut.
Antara pelajar yang diraikan pada majlis tersebut.