Thursday, May 8, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Didik pelajar dengan aktiviti interaktif raikan Hari Bumi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Dalam usaha untuk memberikan pendedahan dan pendidikan mengenai kesedaran alam sekitar pada usia yang muda, Sekolah Sinaran Pelangi meraikan Hari Bumi dengan mengadakan aktiviti-aktiviti interaktif dan berpendidikan bagi murid-murid tadikanya yang berlangsung di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

    Aktiviti pembelajaran berasaskan alam sekitar berkenaan, dimulakan dengan sesi kitar semula amali, di mana para murid diperkenalkan kepada konsep pengasingan sisa buangan dan pembuangan bertanggungjawab.

    Dengan tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Kawan Bumi Sdn Bhd, para murid dengan riangnya belajar untuk mengasingkan sisa kertas, plastik dan sisa yang boleh dikitar semula sekali gus mempelajari bagaimana tindakan kecil boleh membawa perubahan yang amat besar.

    Acara diteruskan dengan aktiviti Save the Ocean yang mengetengahkan pentingnya untuk melindungi kehidupan marin menerusi aktiviti berpendidikan dan menyeronokkan sambil menyelami mesej pemuliharaan lautan.

    Selain itu, para murid untuk mengambil bahagian dalam sesi permainan deria di mana mereka berjalan atas pelbagai bahan termasuk rumput dan pasir untuk membantu mereka meneroka tekstur serta menghargai bumi yang dipijak.

    Sambutan Hari Bumi berakhir dengan sesi seni dan kraf di mana para pelajar menzahirkan rasa cinta mereka kepada bumi menerusi karya kreatif masing-masing menggunakan bahan kitar semula, kertas berwarna dan bahan-bahan semula jadi seperti daun.

    Pengarah Eksekutif Sekolah Sinaran Pelangi, Miss Loo memuji penyertaan bersemangat para murid dan kakitangan sekolah dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan apabila berkata, “Tidak terlalu awal untuk mengajar anak-anak kita menjaga alam sekitar. Hari-hari seperti ini membantu menanam benih tanggungjawab dan belas kasihan untuk Bumi.”

    Sekolah Sinaran Pelangi kekal komited untuk menyediakan pendidikan hoslitik yang mengintegrasikan nilai-nilai alam sekitar ke dalam pembelajaran harian, membentuk minda muda menjadi pengurus masa depan bumi.

    Semua di atas: Antara aktiviti-aktivit yang diadakan semasa sambutan Hari Bumi di sekolah .- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SEKOLAH SINARAN PELANGI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda