Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Seramai 60 pelajar Tahun 9 dan 10 dari sembilan buah sekolah menengah serta maktab petang tadi menghadiri Bengkel Voices of Children bertajuk Memperkasa Kanak-kanak untuk Turut Serta: Hak Kanak-kanak dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; pegawai-pegawai kanan daripada KKBS dan organisasi rakan kongsi.
Menurut kenyataan, bengkel yang dikendalikan oleh Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias dari MyActionforSDGs selaku fasilitator utama adalah merupakan sebahagian daripada sambutan global Hari Kanak-kanak Sedunia 2024, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, agensi swasta dan persatuan-persatuan bukan kerajaan.
Antara lain tujuan bengkel itu adalah untuk mendidik peserta mengenai hak kanak-kanak dan SDG, memberi inspirasi kepada empati, menggalakkan advokasi dan tindakan, memupuk kerjasama dan kreativiti, serta meraikan kejayaan untuk memacu perubahan yang bermakna dalam komuniti.
Selain itu, dalam usaha memperkukuhkan perbincangan dan perkongsian ilmu, dua penyampai terdiri daripada Pegawai Tugas-tugas Khas dari Pejabat Wawasan Brunei, Awang Muhammad Adi Safwan bin Haji Dullah; Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (Hal Ehwal Kanak-kanak), Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid, telah dijemput untuk memberikan taklimat dan membincangkan topik-topik yang berkaitan.
Awang Muhammad Adi Safwan telah mengongsikan tentang Wawasan Brunei Darussalam 2035 dengan tumpuan khusus penyepaduan kepada 17 matlamat pembangunan mampan (SDG).
Beliau turut menekankan kepentingannya dalam membimbing kemajuan negara ke arah masa depan yang mampan dan inklusif.
Seterusnya, Dato Paduka Dr Haji Omar pula menerangkan mengenai prinsip teras Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak. Beliau juga menekankan bagaimana prinsip itu sejajar dan menyokong matlamat pembangunan mampan, memastikan perlindungan dan memperkasakan kanak-kanak penting untuk mencapai SDG.
Bengkel tersebut telah dipecahkan kepada tujuh kumpulan iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan; Kesaksamaan Jantina; Pendidikan Berkualiti; Mengurangkan Ketidaksamaan; Tindakan Iklim; Institusi Aman, Adil dan Kukuh; dan Rakan Kongsi bagi Matlamat-matlamat.