Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Seramai 53 orang telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran bagi residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) sempena Nuzul Al-Quran 1445H/2024M yang diadakan di Dewan An-Naura, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), kelmarin.
Majlis anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Yayasan itu disertai oleh seramai 34 orang pegawai dan kakitangan JAPEM dan 19 orang residen dan penghuni KRK.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.
Majlis bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat di samping untuk memantapkan mutu bacaan Al-Quran serta mendidik penghuni dan residen agar sentiasa membaca, mencintai dan mendengar Al-Quran sebagai amalan hidup seharian.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), ketua-ketua jabatan di bawah KKBS dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis.



