Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diego Maradona menderita sebelum meninggal dunia

    BUENOS AIRES, 28 MAC – Salah seorang pakar forensik yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat terhadap Diego Maradona berkata pemain bola sepak Argentina itu mengalami kesakitan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum dia meninggal dunia.

    Beliau turut menyatakan bahawa ‘mana-mana doktor’ sepatutnya menyedari gejala berkenaan beberapa hari lebih awal.

    Carlos Cassinelli, pengarah Perubatan Forensik di Penguasaan Polis Saintifik kelmarin memberikan butiran bedah siasat yang dilakukan pada hari kematian Maradona iaitu pada 25 November 2020, semasa direhatkan di sebuah rumah yang terletak di perbandaran Buenos Aires, Tigre.

    “Jantungnya diselaputi lemak dan darah beku sepenuhnya, yang menunjukkan penderitaan,” kata pakar itu semasa perbicaraan pembunuhan ke atas tujuh ahli profesional kesihatan.

    Bedah siasat menyimpulkan bahawa Maradona meninggal dunia akibat edema pulmonari akut akibat kegagalan jantung kongestif.

    “Ini adalah pesakit yang telah mengumpul air selama beberapa hari; ia bukannya akut. Ini adalah sesuatu yang boleh dijangka,” kata Cassinelli. “Mana-mana doktor yang memeriksa pesakit akan mendapati ini.”

    Menurut pihak pendakwaan, ahli profesional tertuduh merangkumi pakar bedah saraf, pakar psikiatri, ahli psikologi, doktor dan jururawat  yang menjaga Maradona semasa pemulihannya gagal memberikan rawatan perubatan yang mencukupi lantas didakwa menyebabkan kematiannya.

    Semasa siasatan, beberapa saksi memberi keterangan bahawa mereka juga dapat lihat muka dan perut Maradona telah bengkak berlebihan. – AP

    Maradona didapati alami penderitaan sebelum kematiannya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda