KUALA LUMPUR – Diet cecair kini menjadi antara pilihan mereka yang ingin menurunkan berat badan menerusi jalan pintas, namun benarkah kaedah ini berkesan dan apakah impaknya terhadap kesihatan?
Diet ini menuntut seseorang mengambil makanan dalam bentuk cecair sepenuhnya seperti jus buah-buahan dan sayur-sayuran, smoothie, sup serta minuman protein atau makanan tambahan yang memudahkan mereka mengawal pengambilan kalori dan mengelakkan makan secara berlebihan.
Pegawai dietetik di Universiti Putra Malaysia (UPM) Jazlina Syahrul berkata walaupun diet itu mampu menurunkan berat dan mencipta defisit kalori yang ketara, amalan secara jangka panjang boleh membawa risiko serius terhadap kesihatan fizikal dan mental jika tidak dirancang dengan baik atau dipantau oleh pakar kesihatan.
Katanya, pengambilan protein yang tidak mencukupi boleh menyebabkan tubuh kehilangan jisim otot dan mengakibatkan penurunan kadar metabolisme, sekali gus menyukarkan pengurangan berat badan dalam jangka panjang.
“Kekurangan serat dalam diet cecair juga boleh menyebabkan sembelit dan masalah kesihatan usus. Seterusnya, ia juga mungkin menyebabkan risiko kekurangan vitamin serta mineral penting seperti zat besi, kalsium dan sebagainya.

Kekurangan kalori dalam jangka panjang juga boleh menyebabkan keletihan melampau, pening dan penurunan daya tumpuan,” katanya kepada Bernama.
Jelasnya, bagi sesetengah individu, diet cecair dapat membantu memulakan tabiat pemakanan yang betul sebelum beralih kepada diet lebih seimbang, namun antara cabaran utama diet cecair ialah kurang kepuasan makan memandangkan diet ini tidak memberikan sensasi kunyah, iaitu aspek penting untuk kepuasan psikologi dan kawalan nafsu makan.
Malah katanya kekurangan nutrien penting akibat pengambilan diet cecair yang tidak seimbang mungkin menyebabkan seseorang itu mengalami kenaikan berat badan
dengan cepat apabila dia kembali kepada diet biasa.
Turut senada Pensyarah Kanan Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shanthi Krishnasamy yang menzahirkan kebimbangan tentang lambakan pelbagai produk penggantian makanan di pasaran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jelasnya, setiap penggantian makanan perlu mempunyai keseimbangan nutrien seperti yang disarankan, justeru amat penting untuk seseorang itu mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebelum mengamalkan diet berkenaan.
“Berdasarkan pengalaman, diet ini tidak mampan dalam jangka panjang. Kebanyakan individu akan mencubanya untuk tempoh singkat sebelum berhenti, menyebabkan mereka mengalami kesan ‘yo-yo’, iaitu berat badan turun dan naik semula,” katanya.
Shanthi turut menjelaskan bahawa diet cecair biasanya diberikan kepada pesakit, misalnya yang menjalani pembedahan bariatrik, dalam tempoh singkat iaitu sekitar dua minggu, lima hingga enam kali sehari sebagai pengganti makanan sebelum prosedur dijalankan.
Beliau berkata bagi menurunkan berat badan secara sihat, seseorang itu perlu fokus pada pengurangan kalori dengan mengawal saiz hidangan, mengamalkan corak pemakanan yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta meningkatkan aktiviti fizikal sebagai langkah berkesan.
“Walaupun seseorang mungkin mengalami penurunan berat badan dalam jangka pendek, kesukaran untuk mengekalkan berat itu dalam jangka panjang boleh membawa kepada masalah metabolisme.
“Lebih baik amalkan konsep ‘Suku-Suku Separuh’ yang merupakan kaedah mudah untuk membahagikan makanan dengan betul dan memastikan semua kumpulan makanan penting dimasukkan dalam setiap hidangan,” katanya.
Sementara itu, pelakon Sweet Qismina yang pernah mengamalkan diet itu bagi menjayakan watak dalam sebuah filem, tidak menyarankan orang ramai mengamalkan kaedah berkenaan tanpa nasihat doktor.
“Susu diberi bukan anda boleh minum sesuka hati kerana digunakan untuk pesakit yang makan atau minum melalui tiub.
“Kaedah ini sangat berisiko tetapi saya dapat minum atas nasihat doktor.
“Kaedah ini juga bukan cara untuk kurangkan berat badan… ada banyak lagi cara sihat,” katanya melalui perkongsian video di Tik Tok selain turut mendedahkan diet itu membuatkannya cepat beremosi yang didorong oleh keinginannya untuk makan makanan biasa. – Bernama