KUALA LUMPUR – Amalan diet sela atau intermittent fasting (IF) bukan sahaja membantu dalam usaha menurunkan berat badan, tetapi turut memberi manfaat kepada kesihatan usus dan metabolisme secara keseluruhannya.
Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Dr Deborah Chew Chia Hsin, perubahan metabolik yang berlaku semasa berpuasa memainkan peranan penting dalam keberkesanan amalan itu.
“Apabila seseorang berpuasa untuk tempoh tertentu, tubuh akan beralih daripada penggunaan glukosa kepada proses ketogenesis, iaitu metabolisme asid lemak bebas.
Peralihan ini memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk ‘berehat’ dan menyokong keseimbangan metabolik tubuh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata IF turut meningkatkan sensitiviti insulin, sekali gus mengurangkan risiko diabetes jenis 2.
Kajian juga menunjukkan diet sela membantu menstabilkan tekanan darah, menurunkan paras trigliserida serta kolesterol jahat, iaitu lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) dan pada masa sama meningkatkan paras kolesterol baik lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) yang menyumbang kepada kesihatan kardiovaskular.
“Beberapa strategi boleh diamalkan seperti kaedah 16:8, iaitu seseorang hanya makan dalam tempoh lapan jam dan berpuasa selama 16 jam, atau kaedah 5:2 yang melibatkan pengurangan kalori secara drastik selama dua hari dalam seminggu,” kata Dr Chew.
Dari segi kesihatan otak, beliau berkata kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada 2019 mendapati bahawa IF dapat meningkatkan daya ingatan dan fungsi kognitif, selain menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan kadar berulangnya tumor dalam kajian terhadap haiwan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa IF tidak sesuai diamalkan oleh semua individu, terutamanya pesakit diabetes jenis 1 yang menerima suntikan insulin, kerana berisiko mengalami hipoglisemia, iaitu penurunan paras gula dalam darah ke tahap berbahaya.
“Pesakit diabetes jenis 2 yang mengambil insulin atau ubat oral juga perlu lebih berhati-hati. Tanda awal hipoglisemia seperti berpeluh dan kekeliruan tidak boleh diabaikan kerana ia boleh membawa kesan serius jika tidak dikawal,” katanya.
Dr Chew turut menasihati individu yang menghidap masalah gastrik atau ulser perut agar mendapatkan nasihat perubatan sebelum memulakan amalan IF, kerana berpuasa untuk tempoh yang panjang boleh meningkatkan pengeluaran asid perut dan memburukkan simptom sedia ada.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Dr Shanthi Krishnasamy pula menegaskan pemakanan yang tidak sihat dalam tempoh jendela makan atau eating window diet tersebut boleh menjejaskan keberkesanan IF.
“Ramai yang menyangka IF secara automatik akan membantu menurunkan berat badan, tetapi jika makanan yang diambil tinggi kalori, bergula, berlemak dan kurang zat seperti piza dan makanan bergoreng, maka tiada manfaat kesihatan yang diperoleh.
“Pemilihan makanan yang seimbang dan berkhasiat masih menjadi kunci utama, walaupun waktu makan telah dihadkan,” katanya.
Mengulas cabaran mengamalkan IF ketika musim perayaan, terutamanya semasa menghadiri rumah terbuka, beliau berkata IF tidak seharusnya menjadi beban atau tekanan kepada individu, sebaliknya perlu disesuaikan mengikut keperluan dan gaya hidup masing-masing.
“Ketika musim perayaan, makanan lebih mudah didapati dan sukar untuk menahan diri. IF boleh dijadikan lebih fleksibel, contohnya dengan mengamalkan puasa selang sehari atau memilih untuk berpuasa pada hari tertentu sahaja.
“Penting untuk mengambil makanan dalam jumlah kecil terlebih dahulu, bermula dengan salad dan air, sebelum menikmati hidangan utama.
“Jika mahu pencuci mulut, cukup sekadar satu atau dua suapan sebagai penghargaan rasa, bukan untuk mengenyangkan diri,” katanya. – Bernama