Kamarul bukanlah seorang yang mudah takut.
Sudah bertahun-tahun dia bekerja di kilang itu, dan tidak pernah mengalami perkara pelik – sehinggalah baru-baru ini.
Gangguan pertama: Almari besi
Malam itu, Kamarul sibuk menaip laporan di dalam bilik pejabat kecilnya. Suasana sunyi, hanya bunyi papan kekunci yang kedengaran.
Tiba-tiba—klik! Bunyi kunci berputar. Dia menoleh ke arah almari besi di sudut bilik.
Perlahan-lahan, pintunya terbuka sendiri, mendedahkan fail-fail yang tersusun di dalamnya.
Kamarul mengerutkan dahi. “Padahal aku dah kunci tadi…”. Dia bangun, menolak pintu almari itu sehingga tertutup rapat, lalu menarik tombol kuncinya. Tidak mahu berfikir panjang, dia kembali ke meja dan menyambung kerja.

Gangguan kedua: Gulungan kertas
Beberapa hari kemudian, Kamarul masih bekerja di bilik yang sama. Kali ini, dia tidak bersendirian – seorang pekerja produksi masuk sebentar untuk mengambil sesuatu. Mereka berbual seketika, sebelum tiba-tiba—srekkkk!
Gulungan kertas besar yang tersandar di dinding tiba-tiba bergolek sendiri ke tengah bilik.
Mata Kamarul dan pekerja itu membesar.
Sejenak mereka berpandangan sebelum pekerja tersebut cepat-cepat keluar, meninggalkan Kamarul sendirian. Jantungnya berdegup lebih laju, tetapi dia masih cuba berlagak tenang. Mungkin angin? Namun, tingkap biliknya tertutup rapat.
Gangguan ketiga: Bekas melayang
Gangguan kecil sebelum ini tidak cukup untuk mengusik keberanian Kamarul. Namun, apa yang berlaku semasa bulan suci ini benar-benar membuatkan dia angkat tangan menyerah.
Petang itu, ketika azan Maghrib hampir berkumandang, Kamarul duduk di mejanya, mengemas fail sebelum keluar untuk berbuka puasa. Tiba-tiba—PRAKK!
Bekas plastik lutsinar yang digunakan untuk membungkus makanan melayang di udara sebelum jatuh ke lantai di hadapannya. Dia tergamam. Kali ini tiada sesiapa di dalam bilik selain dirinya.
Dada Kamarul berombak. Dia segera bangun, membuka pintu luas-luas, menekan suis lampu, dan melangkah laju keluar dari bilik itu tanpa menoleh ke belakang.
Malam itu, dia menceritakan segalanya kepada rakan-rakan sekerja.
“Kalau setakat almari buka sendiri, kertas bergerak tu aku tahan lagi… Tapi kalau dah main baling-baling barang, aku surrender. Aku pergi makan terus!” katanya sambil ketawa, walaupun jauh di sudut hatinya, dia tahu – dia bukanlah satu-satunya penghuni bilik itu.
Dan entah siapa lagi yang bakal menjadi mangsa seterusnya…