MANILA, 8 MEI – Digitalisasi boleh menjadi alat berkesan untuk mengurangkan ketidaksamaan ekonomi yang berterusan di Asia dan Pasifik, namun bagi merealisasikan potensinya, kerajaan perlu merapatkan ‘jurang digital’, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam satu laporan baru-baru ini.
Menurut Laporan Dasar Pembangunan Asia 2025: Memanfaatkan Transformasi Digital untuk Kebaikan, rantau asia dan pasifik telah mencatat kemajuan lebih pantas berbanding rantau wilayah lain dalam pembangunan digital sejak beberapa dekad lepas, namun manfaatnya tidak diagihkan secara saksama, lapor Xinhua.
Sebagai contoh, laporan itu menyatakan peratusan penduduk yang menggunakan Internet di kawasan bandar adalah 13 mata peratusan lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Kelajuan muat turun Internet mudah alih di kawasan bandar juga 38 peratus lebih pantas daripada di kawasan luar bandar.
Kajian lepas turut mendapati banyak ekonomi membangun di Asia dan Pasifik ketinggalan dari segi keterangkuman digital dan secara umum mencatat tahap kemahiran digital yang rendah.
“Transformasi digital yang pesat di Asia dan Pasifik meletakkan rantau ini pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat besar,” kata Ketua Ahli Ekonomi ADB, Albert Park.
“Kerajaan yang memacu digitalisasi secara inklusif dan mampan berpeluang bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan inovasi secara keseluruhan, tetapi juga mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dalam masa yang sama,” katanya.
Laporan itu menyatakan bahawa digitalisasi boleh mengurangkan ketidaksamaan dengan meluaskan akses kepada perkhidmatan asas seperti kewangan peribadi dan pendidikan, selain membantu usahawan kecil mengatasi halangan seperti kekurangan akses kepada pembiayaan atau rangkaian perniagaan.
ADB menyarankan agar kerajaan di Asia dan Pasifik membangun menggubal strategi digital nasional yang mengintegrasikan matlamat keterangkuman dan kemampanan serta melaksanakan dasar yang disesuaikan dengan keperluan tempatan untuk menyokong matlamat itu. – Bernama-Xinhua
