Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    DigiThink tingkat literasi digital Asia Tenggara

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam dunia yang serba digital, memahami dan menggunakan teknologi dengan efektif adalah sama pentingnya seperti kemahiran literasi tradisional, yang mana perkara itu menjadi fokus utama pada acara Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang bertemakan Mempengaruhi Masa Depan yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, baru-baru ini.

    Acara yang dianjurkan bersama oleh Google Developer Group Brunei dan Women Techmakers itu turut memperkenalkan sesi pelancaran DigiThink iaitu sebuah inisiatif yang bertujuan meningkatkan literasi digital di Asia Tenggara.

    Misi DigiThink adalah untuk mengubah pendidikan dengan mengintegrasikan teknologi ke dalam pembelajaran, menyediakan akses kepada alat digital dan latihan bagi pendidik dan pelajar.

    Inisiatif ini berkomitmen untuk menjadikan pendidikan digital lebih menarik dan praktikal melalui platform interaktif dan kaedah inovatif, mempersiapkan peserta untuk dunia yang didorong oleh digital.

    Menekankan kepentingan misi itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam ucapannya menekankan peranan penting literasi digital dalam masyarakat hari ini di mana menurutnya ia adalah signifikan untuk menguasai alat digital demi menuju masa depan yang dikuasai teknologi.

    Wakil dari Google Developer Group Brunei dan Women Techmakers semasa hadir pada acara Hari Wanita Antarabangsa di Dewan Amar Pahlawan, MTIC. – GAMBAR SERAHAN GOOGLE DEVELOPER GROUP BRUNEI DAN WOMEN TECHMAKERS
    Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam ucapannya telah menekankan peranan penting literasi digital dalam masyarakat hari ini dan penting untuk menguasai teknologi digital. – GAMBAR SERAHAN GOOGLE DEVELOPER GROUP BRUNEI DAN WOMEN TECHMAKERS

    Manakala Ketua Projek DigiThink, Dayang Sarinah Ziziumiza, turut mengongsikan matlamat inisiatif itu. Beliau menonjolkan alat inovatif yang ditawarkan oleh DigiThink, seperti buku realiti tambah Journeys Digital: Pengembaraan Kewarganegaraan Digital dan platform e-pembelajaran DigiMinds, yang direka untuk menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik.

    DigiThink merupakan sebahagian daripada Decade of Impact Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), melengkapkan program YSEALI Seeds for the Future melalui penciptaan Digiverse, iaitu sebuah projek yang bertujuan untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan generasi muda, seterusnya memperluas pengaruhnya dalam membina komuniti yang mahir teknologi.

    Dengan pengungkayahan acara berkenaan, ia melambangkan langkah penting dalam memperlengkapi Asia Tenggara dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia moden.

    Pelancaran DigiThink, yang selaras dengan matlamat YSEALI dan Hari Wanita Antarabangsa, membuka jalan untuk transformasi pendidikan, meningkatkan kemahiran individu dengan literasi digital yang diperlukan bagi kejayaan dalam era yang didorong oleh teknologi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda