Terus mengunci mulut mengenai gosip sudah bergelar suami kepada seorang usahawan dari Kelantan, Iqram Dinzly, 44, sebaliknya, meminta doa yang baik daripada semua pihak.
“Betul atau tidak perkara itu, tunggu sahaja masanya,” katanya kepada BH Online.
Mengulas soal jodoh, anak jati Perak itu menyerahkan perkara itu kepada takdir.
“Jodoh, ajal dan maut, semuanya ketentuan Allah. Apa yang terbaik daripada Dia, saya terima.
“Mengenai dakwaan sudah bernikah, biarlah rahsia. Lagipun, saya malas hendak berkongsi kisah peribadi. Bimbang akan memakan diri,” katanya.
Ditanya apakah masih berkeinginan berumah tangga pada usia yang sudah melebihi empat dekad, Iqram menganggap tidak salah untuk dirinya berkahwin pada usia lewat.
Memberi jawapan ringkas, Iqram mencari pasangan yang dituntut Islam sebagai kriteria wanita pilihan.
Berbicara mengenai perkembangan kerjaya seni, Iqram yang kali terakhir berlakon pada 2022, tidak menafikan kontroversi membabitkan dirinya sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kerjaya lakonan.
“Kali terakhir saya berlakon dalam drama Cinta Hilang Kata. Saya mengakui kontroversi di mana saya dituduh gila dan sesat memberi kesan kepada kerjaya seni.
“Tetapi, saya terima aturan Allah. Namun, maaf, tiada istilah comeback untuk saya dalam bidang lakonan.
“Saya sedar bergelar selebriti membuatkan saya lupa diri. Sekarang saya fokus ke hadapan,” katanya.
Iqram kini memberi tumpuan kepada jualan kerepek dan sambal yang diusahakannya.
Iqram menganggap perniagaan persis latihan lakonan buatnya.
Biarpun sudah lama menjadi anak seni dan berdepan khalayak, Iqram tidak terlepas daripada cabaran meyakinkan pelanggan untuk membeli produknya.
“Orang nampak mudah tetapi kena ingat, saya mulakan perniagaan dalam keadaan difitnah oleh pelbagai pihak. – Agensi